fb fb fb fb fb

ATP Finals: Alcaraz, Sinner berentap di perlawanan akhir

Alcaraz meraikan kejayaan mara ke perlawanan akhir ATP Finals / REUTERS

TURIN, 16 November - Pemain nombor satu dunia, Carlos Alcaraz mengesahkan kemaraan ke perlawanan akhir ATP Finals selepas menewaskan Felix Auger-Aliassime pada aksi separuh akhir di Inalpi Arena awal pagi tadi.

Kemenangan itu bakal menyaksikan pertembungan yang dinanti-nantikan menentang jaguh tuan rumah dan juga juara bertahan, Jannik Sinner selepas beberapa siri pertarungan mendebarkan antara kedua-dua pemain sepanjang tahun ini.

Alcaraz yang berasal dari Sepanyol berada pada prestasi terbaik apabila menguasai permainan untuk mudah menewaskan Auger-Aliassime 6-2 di set pertama.

Tekanan terus dirasai pemain Kanada itu pada set kedua, apabila kerap melakukan kesilapan-kesilapan mudah dan seterusnya memberikan kemenangan 6-4 kepada Alcaraz.

Menjelang perlawanan akhir awal pagi esok, Alcaraz dilihat mempunyai kelebihan berdasarkan rekod kemenangan yang lebih baik ke atas Sinner secara keseluruhan (10-5) dan memenangi empat daripada lima pertemuan final mereka tahun ini.

Pertembungan ini juga merupakan peluang buat Alcaraz, 22 tahun untuk memenangi gelaran pertamanya dalam kejohanan penutup musim itu.

Sinner pula meneruskan rentak cemerlang di Turin, mara ke final buat kali ketiga berturut-turut. - REUTERS

MOHD NORIZWAN BIN SAMAN