TBILISI, 16 November - Sepanyol hampir pasti untuk menempah tiket automatik ke pusingan akhir Piala Dunia 2026 selepas membenam Georgia 4-0 pada aksi kelayakan Kumpulan E, awal pagi tadi.
Skuad kendalian Luis de la Fuente menang semua lima perlawanan kumpulan dengan memiliki kelebihan besar jaringan yang menjadikan usaha pencabar terdekat, Turkiye untuk memintas hampir mustahil.
Mikel Oyarzabal membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ke-11 sebelum Martin Zubimendi dan Ferran Torres menambah dua lagi gol masing-masing pada minit ke-22 dan ke-35.
Bersambung selepas rehat, Oyarzabal sekali lagi menemui sentuhan pemusnahnya apabila meledak gol keempat buat "La Roja" pada minit ke-63.
Sepanyol akan melayan kunjungan Turkiye yang ketinggalan tiga mata di belakang awal pagi Rabu ini bagi aksi terakhir kumpulan.
Turkiye yang dibimbing Vincenzo Montella perlu menang dengan tujuh gol atau lebih bagi menghalang Sepanyol layak automatik ke Piala Dunia.
Sepanyol gah mengutip 15 mata maksimum dengan meledak 19 gol dalam saingan kumpulan tanpa dibolosi sebarang jaringan. - AFP