fb fb fb fb fb

KBS serius perkasa sukan renang di setiap peringkat

FOTO BERNAMA

PENAMPANG, 28 April- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serius untuk memperkasa sukan renang di setiap peringkat dengan membabitkan kerjasama bermula daripada peringkat akar umbi.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, kementerian itu juga telah memulakan perbincangan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri yang memiliki kolam renang untuk dibaiki bagi kegunaan awam.
 
"Ia penting kerana sebelum ini terdapat beberapa kolam renang ditutup kerana faktor kos operasi yang tinggi,"katanya.

Sehubungan itu, beliau amat menggalakkan pemimpin khususnya seperti Ahli Parlimen kawasan akan mengambil inisiatif untuk mengadakan perbincangan bersama JBSN di kawasan masing-masing, berkenaan pewujudan kolam renang di kawasan masing-masing.
 
Menurutnya, tidak mudah untuk membina kolam renang dan ia memerlukan kerjasama pihak yang mempunyai akses pemilikan tapak tanah mahupun fasiliti berkaitan.

Sementara itu, Hannah memaklumkan KBS menyasarkan sebanyak 8,880 individu menyertai Program Kemahiran Latihan Asas Sukan Renang (KLAS Renang) di seluruh negara tahun ini.

Beliau berkata, program secara percuma itu menyasarkan 7,680 kanak-kanak dalam kalangan keluarga B40, Orang Kurang Upaya (OKU) berusia enam hingga 15 tahun dengan 600 peserta, dan warga emas 60 hingga 75 tahun seramai 600 peserta.

Jelasnya, pada tahun ini, KBS lebih memberi fokus kepada warga emas bagi membolehkan golongan itu kekal cergas dan aktif selain mempelajari kemahiran baharu bagi mereka.

Pendaftaran KLAS Renang Fasa Satu kini dibuka bermula bulan ini hingga Jun depan dan program akan diadakan di 222 lokasi yang mempunyai fasiliti kolam renang.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE