KUALA LUMPUR, 28 November - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memastikan Program Podium Sukan Elit (Program Podium) akan terus berjalan dengan penambahbaikan dari semasa ke semasa.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata antara penambahbaikan yang akan dilakukan seperti latihan, fasiliti dan kejurulatihan.
Beliau berkata program tersebut merupakan platform bagi kesemua atlet yang mewakili negara mendapat bantuan dari pelbagai aspek dan dana untuk bertanding ditemasya luar negara.
"Peruntukan yang diberi oleh kerajaan menerusi Belanjawan 2024 untuk program podium itu ditambah supaya kita dari semasa ke semasa boleh tingkatkan prestasi dan pencapaian atlet.
"Kita sentiasa ada penambah baikan terutama sekali pada peruntukan kerana ia melibatkan pembelanjaan. Apa sekalipun program ataupun strategi, bentuk penambahbaikan yang kita nak buat itu tentu akan melibatkan kos," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas Majlis menandatangani Memorandum persefahaman (MOU) antara KBS, Bahagian Pembangunan Kemajuan Belia BPKB dengan AEON, di sini.
Dalam perkembangan lain, Adam Adli berkata KBS dan Majlis Sukan Negara (MSN) akan tetap mengadakan perbicangan bersama kerajaan negeri Kelantan mengenai pemakaian patuh syariah bagi Sukan Malaysia (Sukma) 2028.
"Itu memang akan tetap diadakan sebab "Jawatankuasa Tertinggi Sukma sentiasa berhubung dan merancang dengan kerajaan negeri.
"Itu adalah proses biasa dan perkara yang tertakluk kepada di bawah enakmen negeri (Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan) itu akan dilaksanakan selaras dengan kerjasama antara negeri dan Pusat," katanya.