NILAI, 10 Disember - Kerjasama semua pihak diperlukan dalam memastikan pembangunan sukan negara yang berterusan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata ini termasuk penglibatan kementerian lain, sektor koporat serta agensi di bawah kementerian itu.
Katanya, kerjasama itu penting bagi membuka peluang kepada atlet untuk bertanding di pelbagai platform kejohanan sekali gus menempatkan diri di peringkat yang lebih tinggi.
"Kita hendak pembangunan di peringkat akar umbi.Kita hendak pastikan fasiliti kita digunakan dengan sebaiknya. Kita juga mahu mereka-mereka yang terlibat dalam pembangunan sukan ini ditambah...dan saya harap dengan adanya penglibatan ini, golongan atlet tahu tahap pencapaian mereka," katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran pertandingan berbasikal Yayasan Sime Darby Track Series (YSDTS) di Velodrom Nasional, di sini, semalam.
Yeoh juga berharap untuk melihat lebih banyak kejohanan sukan tempatan membuka peluang kepada wanita untuk bersaing dan mempamerkan bakat mereka.
"Sebagai menteri wanita, ini adalah salah satu aspek yang saya akan beri perhatian," katanya.