BANGI, 20 September - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menggalakkan ibu bapa menghantar anak-anak berkeperluan khas, khususnya golongan belia autistik, mengikuti kursus kemahiran yang ditawarkan Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS).
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata langkah itu penting bagi memastikan golongan berkenaan mendapat peluang latihan dan kemahiran untuk berdikari serta menyumbang kepada masyarakat.
“Apa yang saya nak fokuskan adalah untuk golongan belia autisme dimana kita ada kursus untuk mereka.
"Dan saya ingin yakinkan graduan hari ini dan ahli keluarga untuk pertimbangkan belia autisme ataupun belia OKU yang mahu mengikuti latihan kemahiran ini untuk datang ke KBS dan turut serta dalam kursus ini.
"Saya percaya kursus yang percuma ini sepatutnya digunakan oleh ibu-bapa untuk hantar anak-anak mereka kepada kita” katanya selepas merasmikan Konvokesyen ILKBS ke-20 di sini.
Sejak diperkenalkan pada 2018, seramai 343 graduan telah berjaya menamatkan latihan, manakala 48 lagi menerima sijil pada konvokesyen kali ini.
Dalam pada itu, Hannah turut berkongsi bahawa ramai alumni ILKBS kini bergelar usahawan berjaya dan kembali menyumbang kepakaran dengan mengambil pelatih baharu bekerja bersama mereka.
Beliau berkata kadar kebolehpasaran graduan ILKBS kini mencecah 97 peratus, jauh mengatasi sasaran asal, sekali gus membuktikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai laluan masa depan belia.
Menurutnya, KBS melalui ILKBS kekal sebagai antara peneraju utama pendidikan TVET negara, selain komited memperkukuh Program Inklusiviti Belia Autisme dan Berkeperluan Khas di beberapa institut terpilih.
Pada konvokesyen kali ini, seramai 3,240 graduan menerima sijil peringkat Diploma Lanjutan, Diploma, Sijil Lanjutan dan Sijil di Semenanjung Malaysia. Manakala 171 graduan di Sabah akan menerima pengiktirafan pada 27 September, diikuti 97 graduan di Sarawak pada 4 Oktober.
