KUALA LUMPUR, 20 September - Persiapan skuad terjun negara ke Sukan SEA Thailand 2025 terus berada di landasan positif, dengan tumpuan kini terarah kepada pasangan muda, Nur Eilisha Rania dan Nurul Farisya Alia Affendi yang bakal beraksi dalam acara 10 meter platform seirama wanita.
Jurulatih pelapis skuad terjun negara, Ooi Tze Liang berkata, kedua-dua atlet itu semakin menunjukkan kematangan sejak beberapa bulan lalu daripada segi mental dan fizikal.
“Perkembangan mereka semakin bagus. Dari segi mental dan fizikal juga semakin mantap untuk menghadapi cabaran akan datang,” katanya.
Menurutnya, strategi latihan tidak menekankan perubahan besar pada teknik, sebaliknya memberi peluang kepada atlet muda itu mengutip lebih banyak pengalaman pertandingan selain mengasah daya tahan mereka di bawah tekanan.
“Rania dan Farisya memiliki potensi besar. Saya nampak semangat mereka tinggi, terutama Farisya yang buat kali pertama beraksi di Sukan SEA, manakala Rania akan tampil buat kali kedua,” jelasnya.
Skuad terjun negara sebelum ini terkenal sebagai ‘lubuk emas’ Sukan SEA, dengan rekod membanggakan apabila menyapu bersih lapan emas di Hanoi 2021 dan empat emas di Kemboja 2023.
