BANGI , 20 September - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyarankan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) agar mencontohi pendekatan Jawatankuasa Road to Gold (RTG) dalam pengurusan penajaan dan ganjaran kepada atlet bagi mengelakkan isu yang menimpa jaguh badminton para negara Cheah Liek Hou daripada berulang.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata RTG telah mengambil langkah proaktif dengan memastikan semua ganjaran yang dijanjikan oleh penaja kepada atlet dilakukan dalam bentuk kontrak rasmi sebelum temasya sukan bermula.
“Saya melihat perkara ini terlalu mudah. Kita tidak perlukan orang tengah. Ini bukan isu yang perlu dinegosiasikan. jika ada janji, kita tunaikan.
"Jika tidak mampu, kita jelaskan sebabnya dan perbaiki keadaan. Tidak perlu sampai mengenakan penggantungan kepada atlet.” katanya katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvokesyen Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) ke-20 di sini hari ini.
Mengulas isu melibatkan juara para badminton negara, Cheah Liek Hou, beliau menjelaskan perkara itu sepatutnya tidak berlaku kerana atlet hanya menuntut janji yang telah dibuat lebih awal.
Beliau turut menegaskan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan menyokong sebarang tindakan penggantungan terhadap Liek Hou kerana isu berkenaan bukan melibatkan disiplin atau salah laku, sebaliknya kelewatan isu ganjaran.
"kalau mereka bertindak seperti itu kementerian belia dan sukan memang tidak akan menyokong dan kita akan pastikan atlet kita tidak akan digantung kerana ini bukan isu disiplin atau atlet kita melakukan jenayah ataupun melakukan perkara yang salah", ujarnya.
Jelas Hannah ,KBS bersama agensi sukan berkaitan akan memperkemas mekanisme ganjaran dengan mewajibkan semua tawaran disahkan secara bertulis bagi melindungi kepentingan atlet.
Tambahnya, langkah itu penting bagi memastikan fokus atlet tidak terganggu serta memberi keyakinan bahawa sumbangan mereka akan dihargai sebaik sahaja tamat temasya.
Sebelum ini, Liek Hou mendedahkan menerusi media sosial, MPM masih belum melunaskan insentif wang tunai RM60,000 yang dijanjikan kepadanya selepas memenangi pingat emas Sukan Paralimpik 2024.
Presiden MPM Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin pada Khamis memaklumkan sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Cheah kerana telah mencemar reputasi pihaknya serta penaja.
