fb fb fb fb fb

Kanu Polo Asia 2025: Malaysia raih gangsa, tamatkan penantian 20 tahun

Malaysia mencatat sejarah apabila berjaya meraih pingat gangsa pertama dalam kategori lelaki Kejohanan Kanu Polo Asia 2025/ Foto Facebook Perbadanan Putrajaya

PUTRAJAYA, 14 September - Malaysia mencatat sejarah apabila berjaya meraih pingat gangsa pertama dalam kategori lelaki, sekali gus menamatkan penantian selama dua dekad sejak penyertaan sulung dalam Kejohanan Kanu Polo Asia 2025.

Perlawanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Air Putrajaya hari ini menyaksikan skuad kebangsaan menewaskan Singapura 2-0 dalam aksi penentuan tempat ketiga, selepas tewas 2-4 kepada Jepun pada peringkat separuh akhir edisi ke-19 kejohanan tersebut.

Naib Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Raja Shahrul Azremel turut menyifatkan kejayaan ini membuktikan peningkatan prestasi negara dalam sukan tersebut, dan beliau menggesa agar acara kanu polo dimasukkan dalam senarai acara Sukan SEA 2027 yang akan berlangsung di Malaysia.

Gabungan kejayaan skuad bawah 21 tahun (B-21) menyaksikan Malaysia menutup tirai kejohanan dengan satu pingat emas dan dua gangsa iaitu pencapaian terbaik dalam sejarah penyertaan negara di kejohanan berprestij itu.

Skuad wanita B-21 menyumbangkan emas pertama kepada Malaysia sejak penyertaan sulung pada tahun 2005, manakala skuad lelaki B-21 pula menyumbang pingat gangsa.

Dalam pada itu, Taiwan menewaskan Jepun pada masa tambahan untuk memenangi pingat emas dalam perlawanan akhir kategori lelaki, sebelum menambah satu lagi kejuaraan menerusi pasukan wanita yang menumpaskan Singapura 6-1.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN