LONDON, 14 September – Penyerang baharu Liverpool, Alexander Isak tidak tersenarai dalam skuad The Reds bagi aksi Liga Perdana menentang Burnley pada Ahad.
Jurulatih Liverpool, Arne Slot menjelaskan pemain berusia 25 tahun itu yang dibeli dengan rekod Britain £125 juta dari Newcastle, masih memerlukan masa untuk kembali cergas selepas pra-musim yang terganggu.
“Kami mahu membinanya secara berperingkat kerana dia terlepas beberapa bulan sesi latihan bersama pasukan. Perlawanan ini terlalu awal untuknya, tetapi saya boleh pastikan dia akan terlibat dalam aksi Liga Juara-Juara menentang Atletico Madrid, Rabu ini,” kata Slot.
Liverpool mengekalkan kesebelasan utama sama seperti ketika menewaskan Arsenal sebelum rehat antarabangsa.
Juara bertahan itu kini mengutip tiga kemenangan daripada tiga perlawanan musim ini, manakala Burnley yang baharu dinaikkan ke liga utama hanya meraih satu kemenangan daripada tiga perlawanan. -AFP