fb fb fb fb fb

McLaughlin-Levrone berjaya ke separuh akhir 400 meter wanita Kejohanan Olahraga Dunia

Pelari Amerika Syarikat, Sydney McLaughlin-Levrone (tengah) berjaya menjuarai acara saringan dengan catatan masa 49.41 saat untuk melangkah ke peringkat separuh akhir acara 400 meter wanita Kejohanan Olahraga Dunia di Tokyo/ Foto AFP

TOKYO, 14 September – Sydney McLaughlin-Levrone melangkah bergaya ke separuh akhir acara 400 meter wanita pada Kejohanan Olahraga Dunia di Tokyo, selepas menjuarai saringan dengan catatan masa 49.41 saat di Stadium Nasional.

Atlet Amerika Syarikat berusia 26 tahun itu merupakan pemegang rekod dunia 400m lari berpagar, namun memilih untuk beraksi dalam acara 400m di kejohanan kali ini.

“Saya fokus pada separuh pertama perlumbaan dan berlari dengan tenang. Seronok kembali ke Tokyo,” katanya selepas perlumbaan.

McLaughlin-Levrone pernah mencuri tumpuan di Sukan Olimpik Tokyo 2021 apabila meraih emas dengan rekod dunia baharu dalam 400m berpagar serta membantu pasukan 4x400m meraih emas. Dia turut menggandakan kejayaan itu di Sukan Olimpik Paris tahun lalu dengan catatan rekod dunia baharu 50.37 saat.

Namun, laluan beliau untuk memburu kejuaraan tidak mudah apabila cabaran diberikan juara dunia 2019 dari Bahrain, Salwa Eid Naser, yang empat kali merekodkan catatan di bawah 49 saat musim ini serta juara dunia dan Olimpik dari Republik Dominican, Marileidy Paulino yang turut mara ke separuh akhir.

Separuh akhir akan berlangsung pada Selasa, manakala peringkat akhir dijadualkan Khamis ini.

Turut layak, dua lagi pelari Amerika Syarikat, Aliyah Butler dan Isabella Whittaker, serta beberapa nama besar lain termasuk Lieke Klaver (Belanda), Wadeline Venlogh (Haiti), Natalia Bukowiecka (Poland) dan Amber Anning (Britain). -AFP

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN