fb fb fb fb fb

Kalamullah Al-Hafiz sah tinggalkan KDA FC

FOTO FACEBOOK Kedah Darul Aman FC

ALOR SETAR, 15 September- Jodoh penjaga gol kebangsaan Kalamullah Al-Hafiz untuk terus bersama pasukan Liga Super Kedah Darul Aman (KDA FC) berakhir hari ini.

Perpisahan itu diumumkan oleh KDA FC menerusi laman Facebook rasmi mereka sebentar tadi.

Menurut KDA FC, perkara tersebut diputuskan selepas perbincangan mendalam antara Kalamullah Al-Hafiz, barisan kejurulatihan dan pengurusan kelab sebelum kesemua pihak memutuskan untuk menamatkan kontrak secara persetujuan bersama.

KDA FC mengakui bahawa kehilangan Kalamullah yang merupakan antara penjaga gol terbaik Harimau Malaya adalah satu keputusan sukar.

"Kalamullah bangkit dan mempamerkan prestasi yang cukup baik di kala pasukan masih terumbang ambing mencari rentak awal musim ini, seterusnya membantu KDA FC layak ke peringkat Separuh Akhir Piala FA 2024/25 baru-baru ini.

"Namun situasi semasa Sang Kenari, ini adalah keputusan terbaik untuk kedua-dua pihak," menurut kenyataan.

KDA FC turut mengucapkan terima kasih atas khidmat bakti beliau dan mendoakan kejayaan dalam kerjaya barunya bersama pasukan Selangor FC.

"Kalamullah, Biar Jasa Jadi Kenangan," menurut kenyataan.

Kemelut isu tunggakan gaji sejak beberapa bulan lalu menyebabkan beberapa pemain utama KDA FC memilih untuk menamatkan kontrak lebih awal dan menyertai pasukan baru.

Beberapa pemain utama juga tidak menjalani sesi latihan baru-baru ini dan menyebabkan pengendali pasukan, Nafuzi Zain terpaksa bergantung kepada pasukan bawah 23 tahun.

Langkah itu memberi kesan pahit apabila pasukan KDA FC tewas 5-0 kepada KL City FC dalam aksi Liga Super di Stadium Bolasepak KL, Cheras, malam tadi.

SITI AISHAH MD ISA