BUENOS AIRES, 9 Oktober- Jurulatih legenda Boca Juniors, Miguel Angel Russo meninggal dunia pada Rabu pada usia 69 tahun selepas sekian lama berjuang melawan kanser.
Menurut kenyataan kelab, Russo yang menjalani rawatan di rumah selepas beberapa kali dimasukkan ke hospital dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan.
Ini sekali gus menyebabkan beliau terpaksa melepaskan tugas harian sebagai pengurus kerana masalah kesihatan.
Bagaimanapun, beliau kekal terlibat rapat dengan pasukan walaupun keadaan kesihatannya semakin merosot termasuk terus berhubung dengan barisan kejurulatihan dan pengurusan tertinggi kelab.
Russo pernah melalui tiga era bersama Boca Juniors, antaranya membawa kelab gergasi Argentina itu menjuarai Copa Libertadores 2007, memenangi kejuaraan liga domestik pada 2020 serta membimbing pasukan ke Piala Dunia Kelab FIFA tahun ini.
Selain Argentina, Russo turut mempunyai pengalaman luas di peringkat antarabangsa dengan pernah mengemudi Universidad de Chile, Salamanca (Sepanyol), Morelia (Mexico), Alianza Lima, Cerro Porteno, Millonarios, serta Al-Nassr (Arab Saudi).
Sebagai pemain, Russo merupakan tonggak Estudiantes, dengan lebih 400 penampilan dan dua kejuaraan liga kebangsaan bersama kelab tersebut, menjadikan beliau antara figura disegani dalam bola sepak Argentina. -REUTERS