JEDDAH, 9 Oktober- Arab Saudi bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Indonesia 3-2 dalam aksi Kumpulan B kelayakan Piala Dunia 2026 pada Rabu, hasil dua jaringan penyerang sensasi, Feras Al-Brikan yang menghidupkan peluang mereka ke pusingan akhir di Amerika Utara tahun depan.
Indonesia mendahului seawal minit ke-11 selepas Kevin Diks menyempurnakan sepakan penalti, namun Arab Saudi menyamakan kedudukan enam minit kemudian.
Jaringan dihasilkan menerusi Saleh Abu Al-Shamat sebelum Al-Brikan meledak dua gol lagi, masing-masing di hujung babak pertama dan awal babak kedua untuk memastikan tiga mata penting buat skuad kendalian Hervé Renard.
Diks sekali lagi menyumbang gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-88 selepas Nawaf Bu Washl menyentuh bola dengan tangan.
Namun, kebangkitan Indonesia itu tidak cukup untuk menggagalkan kemenangan tuan rumah.
Arab Saudi terpaksa menamatkan permainan dengan 10 pemain selepas Mohammed Kanno dilayangkan kad merah pada masa kecederaan, namun kedudukan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanan.
Kemenangan itu meletakkan Arab Saudi selangkah lagi ke pusingan akhir, hanya perlu menewaskan Iraq di Jeddah, Selasa depan untuk mengesahkan slot automatik ke Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Enam slot automatik Asia telah pun diisi oleh Jepun, Korea Selatan, Australia, Iran, Jordan dan Uzbekistan, manakala satu lagi slot berpotensi diperoleh melalui playoff antara benua pada Mac depan. -REUTERS