DOHA, 9 Oktober- Oman berjaya menahan asakan tuan rumah Qatar untuk mencatat keputusan seri 0-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan A pusingan keempat kelayakan Piala Dunia 2026 Zon Asia pada Rabu.
Ini sekali gus menjejaskan peluang awal kedua-dua pasukan untuk meraih tiket automatik ke pusingan akhir.
Perlawanan di Stadium Jassim bin Hamad itu berlangsung sengit dengan peluang jaringan yang terhad dan detik terbaik hadir pada minit ke-49 menerusi kapten Qatar, Akram Afif.
Afif gagal menyempurnakan peluang keemasan apabila rembatannya tersasar walaupun sudah berhadapan gawang terbuka.
Pasukan Oman bimbingan Carlos Queiroz, yang memburu kelayakan ke Piala Dunia buat pertama kali, akan berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Sabtu ini manakala Qatar pula akan menentang pasukan sama pada Selasa.
Hanya juara kumpulan akan layak secara automatik ke Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico manakala naib juara perlu melalui aksi 'playoff' menentang naib juara Kumpulan B yang kini berlangsung di Arab Saudi.
Qatar, yang dikendalikan jurulatih Julen Lopetegui bermula agresif dengan menguasai permainan namun gagal menterjemahkan dominasi tersebut kepada jaringan.
Enam slot automatik Asia ke Piala Dunia telah diisi oleh Jepun, Korea Selatan, Australia, Iran, Jordan dan Uzbekistan, dengan satu lagi slot berpotensi diperoleh menerusi 'playoff' antara benua pada Mac depan. -REUTERS