fb fb fb fb fb

Jude Bellingham, kini senjata baharu Real Madrid

FOTO AFP

MADRID, 14 Jun- Real Madrid sah menandatangani Jude Bellingham dari Borussia Dortmund dengan perjanjian enam tahun pada Rabu, dengan menelan kos lebih €100 juta euro (AS$108 juta).

Kelab Jerman, Dortmund berkata perjanjian untuk pemain berusia 19 tahun itu telah dicapai minggu lalu dengan Madrid, bernilai €103 juta euro ditambah sehingga 30 peratus daripada bayaran itu dalam bentuk bonus.

Ketibaan Bellingham dilihat mampu menguatkan lagi jentera perancang Real Madrid, menyertai gandingan muda Perancis, Eduardo Camavinga dan Aurelien Tchouameni sekali gus masa terbaik untuk pemain veteran, Luka Modric dan Toni Kroos berehat seketika.


(FOTO AFP)

"Kelab kami menandatangani salah satu bakat terbesar dalam bola sepak dunia, pemain yang berasal dari Borussia Dortmund dan tiba di Madrid selepas dipilih sebagai pemain terbaik dalam Bundesliga musim 2022-23.

"Selain itu, dia baru berusia 19 tahun dan sudah pun menjadi pemula untuk pasukan kebangsaan England," kata Madrid.

Bellingham menyinar di bawah pasukan Gareth Southgate pada kempen Piala Dunia tahun lalu, dengan England tersingkir di pusingan suku akhir oleh naib juara, Perancis.

Pemain tengah itu, yang berusia 20 tahun pada penghujung Jun ini, menandatangani kontrak dengan Dortmund dari Birmingham pada 2020 dengan harga €25 juta euro, bermain 132 perlawanan untuk kelab itu dan menjulang Piala Jerman pada 2021.

"Terima kasih kepada semua orang di BVB dan kepada peminat untuk segala-galanya sepanjang tiga tahun lalu," kata Bellingham kepada laman web kelab Dortmund.

"Adalah satu penghormatan untuk memakai baju anda begitu kerap, pada saat-saat besar dan kecil. Walaupun saya menantikan destinasi seterusnya, saya tidak akan melupakan perjalanan ke sana. Selamanya Borussian," katanya.- AFP

Media Baharu