NEW DELHI, 1 Julai- Lembaga Kriket India (BCCI) mengumumkan ganjaran wang tunai sebanyak 1,250 juta rupee (hampir AS$15 juta) kepada pasukan yang memenangi Piala Dunia Kriket Twenty20 (T20).
"Saya dengan sukacitanya mengumumkan hadiah wang tunai INR 125 crore untuk pasukan India yang memenangi Piala Dunia T20 Lelaki ICC 2024.
“Pasukan ini telah menunjukkan bakat luar biasa, ketekunan dan semangat kesukanan sepanjang kejohanan," kata Setiausaha BCCI, Jay Shah pada Ahad.
India menjulang trofi selepas menewaskan Afrika Selatan dalam perlawanan akhir yang mendebarkan pada Sabtu di Barbados.
Rakyat India dengan populasi 1.4 bilion meraikan kemenangan itu dengan penuh kegembiraan, menamatkan kemarau 11 tahun negara untuk gelaran juara kriket antarabangsa.
Sebanyak 20 pasukan yang dibahagikan kepada empat kumpulan telah menyertai kejohanan yang dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat dan West Indies dari 1 hingga 29 Jun.
Badan pengelola, Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) mengumumkan hadiah wang tunai sebanyak AS$11.25 juta untuk kejohanan tahun ini.
India selaku juara membawa pulang AS$2.45 juta, manakala Afrika Selatan sebagai naib juara menerima AS$1.28 juta.
Sementara itu, tiga pemain senior India, Virat Kohli, Rohit Sharma dan Ravindra Jadeja mengumumkan persaraan mereka daripada kriket T20 antarabangsa bagi memberi laluan kepada generasi seterusnya beraksi dalam pasukan T20. -BERNAMA