fb fb fb fb fb

Pemain badminton China rebah sebelum disahkan meninggal dunia

Zhang Zhi Jie / FOTO BAM

KUALA LUMPUR, 1 Julai- Pemain badminton meningkat naik dari China, Zhang Zhi Jie, telah meninggal dunia selepas pengsan pada Kejohanan Remaja Asia 2024 yang diadakan di Yogyakarta, Indonesia, malam tadi.

Badminton Asia menerusi satu kenyataan memaklumkan, Zhang Zhi Jie rebah di atas gelanggang ketika sedang beraksi menentang Kazuma Kawano dari Jepun sebelum dibawa ke hospital dan disahkan meninggal dunia.

“Pemain perseorangan, Zhang Zhi Jie dari China, pengsan di atas gelanggang semasa perlawanan segera dikejarkan ke hospital, dan disahkan meninggal dunia pada pukul 23.20 waktu tempatan semalam.

“Zhi Jie sedang beraksi dalam perlawanan peringkat kumpulan menentang Jepun apabila dia rebah. Dia kemudiannya mendapat rawatan kecemasan oleh doktor dan pasukan perubatan yang bertugas, lalu dibawa ke hospital dalam masa kurang daripada dua minit dengan ambulans yang telah disediakan,” menurut kenyataan rasmi.

Badminton Asia, Persatuan Badminton Seluruh Indonesia (PBSI) dan Jawatankuasa Penganjur mengucapkan takziah kepada ibu bapa Zhang, keluarganya serta Persatuan Badminton China (CBA).

“Dunia badminton telah kehilangan seorang pemain yang berbakat besar,” tambah kenyataan itu.

Sementara itu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) turut mengucapkan takziah kepada keluarga, rakan-rakan dan rakan sepasukan Zhang Zhi Jie, serta kepada seluruh CBA.

"Ingatan dan doa kami bersama keluarga Zhi Jie dan CBA dalam masa yang sukar ini. Seluruh persaudaraan badminton berkabung atas kehilangan pemain berbakat ini.

"Semoga rohnya bersemadi dengan aman,"kata BAM.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE