fb fb fb fb fb

Juara renang Yie Bing berhasrat mahu jadi doktor haiwan

BUKIT JALIL, 20 September - Bintang baharu sukan renang dari Negeri Bawah Bayu Sabah, Loo Yie Bing tidak berhasrat untuk menyertai skuad kebangsaan meskipun sudah meraih 3 pingat emas di Temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022.

Pemegang rekod kebangsaan bagi acara 100 meter (m) gaya bebas wanita ini mahu memberi fokus kepada pencapaian pelajaran dan juga sukan renangnya.

Yie Bing anak kelahiran Sandakan ini tampil cemerlang apabila meraih pingat emas menerusi acara 100 meter (m) gaya bebas wanita dan 50 meter (m) kuak kupu-kupu yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Yie Bing yang berusia 14 tahun dijangka beraksi menerusi acara 50 meter (m) kuak dada esok.

Dia yang juga pencinta haiwan mahu memberi tumpuan dalam bidang akademik.

"Keluarga kami telah mengambil seekor anjing. Namanya Chunky tetapi dia jatuh sakit dan meninggal dunia pada tahun lepas.

"Ia sangat menyedihkan. Saya mahu menjadi doktor haiwan, supaya saya boleh membantu haiwan," katanya.

Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Yie Bing berhasrat untuk menyambung pelajaran dalam bidang veterinar diluar negara sama ada di Amerika Syarikat, United Kingdom ataupun Australia.

(Perenang dari Sabah, Loo Yie Bing membawa pulang tiga pingat emas dalam acara renang)

Katanya, dia telah menolak tawaran sebanyak dua kali iaitu untuk menyertai skuad kebangsaan pada 2019 dan terbaharu dua minggu sebelum bermulanya Sukma 2022.

Semalam, Yie Bing menewaskan tujuh peserta lain pada peringkat akhir sebelum menamatkan perlumbaan 200 (m) gaya bebas wanita dengan catatan masa 2:07.03 (s)

Media Baharu