KUALA LUMPUR, 27 Disember- Kejayaan beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik mencipta sejarah muncul pemain Malaysia pertama meraih gelaran juara dunia pada Ogos lepas, menjadi pencapaian paling cemerlang buat arena sukan negara sepanjang tahun ini.
Aaron, 25, dan Wooi Yik, 24, menamatkan penantian 45 tahun Malaysia untuk menyaksikan juara dunia di pentas kejohanan badminton apabila berjaya menewaskan beregu veteran dan bekas juara dunia tiga kali, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia 21-19, 21-14 di Tokyo, Jepun.
Kejayaan itu juga sekali gus memadam badi tanpa gelaran buat beregu berkenaan yang digandingkan sejak 2017, dengan satu-satunya gelaran cemerlang dimenangi mereka adalah pingat emas Sukan SEA 2019, selain pencapaian merangkul gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Terdahulu, Aaron-Wooi Yik membantu skuad badminton negara membuka tirai tahun ini dengan kejayaan meraih gelaran sulung Kejohanan Berpasukan Asia di Setia Alam, Selangor dari 15 hingga 20 Februari.
Malaysia muncul juara kategori lelaki menewaskan musuh tradisi, Indonesia 3-0 pada aksi final manakala skuad wanita meraih gangsa selepas kecundang 0-3 kepada Korea Selatan di separuh akhir.
Bagi saingan individu Kejohanan Asia yang berlangsung di Manila, Filipina pada 26 April hingga 1 Mei, Lee Zii Jia merangkul gelaran perseorangan lelaki manakala Aaron-Wooi Yik meraih perak.
Namun, secara keseluruhannya, prestasi atlet Malaysia pada dua temasya utama tahun ini – Sukan Komanwel Birmingham 2022 dan Sukan SEA Hanoi 2021 - tidaklah begitu membanggakan walaupun sasaran rendah yang ditetapkan berjaya dicapai.
Di Birmingham, kontinjen negara mencapai sasaran enam pingat emas apabila berjaya membawa pulang tujuh emas, lima perak dan 12 gangsa dengan berada di kedudukan ke-10, pencapaian lebih baik berbanding edisi lepas di Gold Coast, Australia (7-5-12) untuk berada di tempat ke-12.
Skuad badminton, angkat berat dan gimrama menjadi penyelamat apabila masing-masing menyumbang dua emas manakala satu lagi kilauan emas hadir daripada atlet para menerusi acara powerlifting, bagaimanapun prestasi kem terjun, berbasikal dan boling padang tidak seperti diharapkan.
Di Hanoi pula, Malaysia yang menghantar kontinjen seramai 584 atlet, berjaya mengatasi sasaran 36 pingat emas, 35 perak dan 75 gangsa dengan merangkul 39-45-90 pingat atau 7.43 peratus daripada keseluruhan emas yang dipertandingkan untuk menamatkan saingan di kedudukan keenam keseluruhan.
Namun, pencapaian berkenaan adalah terburuk Malaysia di temasya dwitahunan itu dan kali kedua tidak berada di kedudukan lima terbaik selepas edisi 1983 di Singapura, terutamanya apabila skuad olahraga dan renang sekadar membawa pulang masing-masing lima daripada 47 emas dan satu daripada 40 emas ditawarkan.
Kontinjen para, bagaimanapun boleh mengukir senyuman apabila membawa pulang 36 pingat emas, 20 perak dan 14 gangsa dari Sukan Para ASEAN (APG) di Solo, Indonesia, iaitu pencapaian lebih dua kali ganda berbanding sasaran 16 emas.
Walaupun tampil di kota Jawa Tengah itu dengan saiz kontinjen yang kecil dengan hanya melibatkan 73 atlet, pencapaian cemerlang enam sukan - renang, olahraga, badminton, memanah, tenis berkerusi roda dan ping pong – telah membantu kejayaan kontinjen negara pada temasya sukan itu.
Di sebalik kejayaan manis, arena sukan negara turut dikejutkan dengan khabar duka apabila jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang terpaksa menjalani pembedahan jantung terbuka pada 21 April di Melbourne, Australia, menyaksikan beliau perlu berehat lebih enam bulan daripada pertandingan.
Pemenang pingat perak keirin Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu disahkan mengalami masalah jantung jarang ditemui dikenali sebagai arteri koronari kanan yang menyalur dari aorta di posisi janggal/ganjil (AAORCA).
Pelumba berusia 34 tahun yang kembali beraksi di Liga Juara-Juara Trek Persekutuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) pada November, kini berada dalam misi memburu kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Landskap sukan negara juga tidak lari daripada kontroversi pada 2022, apabila pemain badminton nombor satu negara Lee Zii Jia mengumumkan keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Februari untuk bergerak sebagai pemain profesional.
(Beregu negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik)
Tindakan pemain berusia 24 tahun itu hampir ‘memakan’ kariernya apabila BAM membuat pertimbangan untuk menggantungnya selama dua tahun namun ia diselesaikan secara baik selepas pertemuan dengan beberapa pihak termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Selain itu, isu doping turut mencemarkan imej sukan negara apabila tiga atlet angkat berat (dua Terengganu, satu Perlis) termasuk seorang berusia 16 tahun, disahkan positif penggunaan bahan terlarang jenis Metandienone, Tebutaline dan Oxymetholone pada ujian sebelum Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 berlangsung pada 16 hingga 24 September lepas.
Ia menyaksikan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) mengundur diri daripada mengendalikan acara angkat berat Sukma, menyebabkan Majlis Sukan Negara (MSN) terpaksa mengambil alih sendiri pertandingan namun sebarang rekod dicipta tidak diiktiraf.
Setelah pelbagai episod suka dan duka mewarnai arena sukan tanah air sepanjang tahun ini, Sukan SEA Kemboja dari 5 hingga 17 Mei dan Sukan Asia Hangzhou, yang ditangguh setahun ke September tahun depan serta kejohanan kelayakan Paris 2024, bakal menjadi tumpuan peminat sukan tempatan pada 2023. -BERNAMA