fb fb fb fb fb

Kecederaan ganggu persiapan Real Madrid hadapi Barcelona

Foto Reuters

MADRID, 24 April- Real Madrid mungkin terpaksa beraksi tanpa pemain pertahanan, David Alaba dan pemain tengah, Eduardo Camavinga dalam perlawanan akhir Copa del Rey menentang Barcelona.

Ini selepas kedua-dua pemain mengalami kecederaan dalam kemenangan 1-0 ke atas Getafe dalam saingan LaLiga, pada Rabu.

Gol tunggal perlawanan yang dijaringkan pemain tengah Turkiye, Arda Guler pada separuh masa pertama memastikan Real terus bersaing untuk kejuaraan LaLiga musim ini.

Namun, kemenangan itu hadir dengan harga yang mahal apabila ketua jurulatih, Carlo Ancelotti turut kehilangan dua lagi pemain penting selepas Kylian Mbappe dan Ferland Mendy sudah pun disahkan tidak dapat diturunkan dalam perlawanan akhir Sabtu ini.

“Kita akan tahu keputusan imbasan esok tetapi Alaba dan Camavinga masing-masing mengalami kecederaan otot dan kemungkinan besar tidak sempat pulih untuk aksi akhir,” kata Ancelotti dalam sidang media selepas perlawanan.

Dengan ketiadaan Mendy, Alaba dan Camavinga, Ancelotti mungkin terpaksa bergantung kepada Fran Garcia untuk mengisi posisi bek kiri, yang berkemungkinan berdepan tugas sukar mengawal bintang muda Barcelona, Lamine Yamal, berusia 17 tahun.

Barcelona kini menerajui LaLiga dengan 76 mata, empat mata di hadapan Real Madrid dengan baki lima perlawanan.

Mereka juga sedang memburu kejuaraan treble musim ini termasuk separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Inter Milan minggu hadapan.

Sepanjang musim ini, Barcelona telah dua kali menewaskan Real dengan keputusan besar, termasuk 4-0 di Santiago Bernabeu dalam saingan liga pada Oktober dan 5-2 dalam perlawanan akhir Piala Super Sepanyol di Arab Saudi pada Januari lalu.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM