fb fb fb fb fb

ABK: Arif Aiman dominasi gelaran MVP kali empat berturut-turut

Foto FB Johor Southern Tigers

KUALA LUMPUR, 24 April- Bintang sensasi Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Mohd Hanapi dinobat Pemain Paling Bernilai, empat kali berturut-turut, dalam Majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2024-2025.

Kemenangan itu sekali gus melakar sejarah baharu dalam arena bola sepak negara apabila beliau menjadi pemain pertama menerima penganugerahan berkenaan.

Kejayaan tersebut meletakkan pemain kebangsaan itu dalam kelas tersendiri apabila mengatasi pencapaian bekas penyerang kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha yang meraih hatrik pada musim 2010 hingga 2012.

Arif Aiman turut mendominasi tiga lagi kategori iaitu Pemain Tengah Terbaik, Gol Terbaik Liga Malaysia dan juga Fans XI (Penyerang).

"Alhamdulillah, saya tak sangka saya dapat memenangi Anugerah MVP ini. Anugerah paling tinggi sebagai pemain tempatan di Malaysia, untuk memenangi empat kali berturut-turut.

Tetapi, setiap tahun adalah cabaran yang tinggi pada saya. Saya tidak ambil mudah dan saya tidak berpuas hati dengan apa yang saya capai selama ini sebab saya rasa prestasi saya belum berada pada tahap terbaik yang saya mahukan, kerana hanya diri saya saja yang tahu.

Betapa sukarnya untuk saya berada di tahap ini, tetapi saya nak lebih lagi, saya rasa tak puas hati lagi. Saya akan beri yang terbaik sampai saya rasa bangga," kata Arif Aiman kepada pemberita, semalam.

Ini juga merupakan musim pertama Arif Aiman memenangi kategori Pemain Tengah Terbaik.

Beliau, sebelum ini meraih gelaran Penyerang Terbaik, tiga kali sejak 2021 sehingga 2023.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM