fb fb fb fb fb

Haikal sedia kembali gegar gelanggang, sasar bangkit bersama Hon Jian

Muhammad Haikal Nazri ditemui pemberita pada sesi latihan skuad kebangsaa di ABM

KUALA LUMPUR, 23 April- Pemain beregu lelaki negara, Muhammad Haikal Nazri, kini bersedia sepenuhnya untuk kembali ke gelanggang selepas mengalami kecederaan yang menjejaskan prestasinya sebelum ini.

Menurut Haikal, beliau kini memberi tumpuan penuh kepada sesi latihan intensif bersama pasangannya, Choong Hon Jian, dalam usaha memperkukuh aspek teknikal permainan selain mengekalkan rentak di gelanggang.

"Saya bersedia untuk kejohanan seterusnya bulan depan di Taipei. Alhamdulillah, buat masa sekarang saya memang bersedia sepenuhnya," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Haikal sebelum ini terpaksa berehat seketika daripada kejohanan antarabangsa selepas mengalami kecederaan yang memerlukan pemantauan rapi oleh pasukan perubatan. Namun, selepas melalui proses pemulihan yang konsisten, beliau yakin mampu kembali bersaing di tahap tertinggi.

"Sekarang ini saya fokus pada permainan kami. Tidak perlu fikir sangat pasal kecederaan sebelum ini, yang penting ialah apa yang perlu dilakukan di kejohanan nanti," tambahnya.

Pasangan Haikal–Hon Jian sebelum ini mencatat beberapa keputusan memberangsangkan dalam siri kejohanan antarabangsa namun prestasi mereka sedikit menurun berikutan masalah kecergasan. Dengan kembalinya Haikal ke tahap kecergasan optimum, mereka menyasarkan untuk mencipta impak semula, termasuk memperbaiki kedudukan dalam ranking dunia.

"Kami juga sedang usahakan untuk bina semula keserasian atas gelanggang. Itu penting untuk pastikan rentak kami stabil dan boleh beri saingan kepada pasangan-pasangan top dunia," jelas Haikal.

Pasangan berkenaan dijangka beraksi dalam beberapa kejohanan penting termasuk Terbuka Taipei bulan depan sebagai platform pemanas badan sebelum ke kejohanan yang lebih besar, menjelang akhir tahun.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE