JOHOR BAHRU, 2 Jun – Kerajaan Johor bercadang untuk meneruskan inisiatif melantik atlet-atlet berjaya sebagai Duta Sukan Johor, dalam usaha memupuk budaya sukan serta memberi inspirasi kepada golongan belia di negeri itu.
Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Md Shah berkata antara sukan yang akan diberi perhatian dalam inisiatif tersebut ialah bola keranjang, yang dilihat berpotensi untuk diketengahkan sebagai salah satu sukan arus perdana.
“Kami akan rujuk kepada Persekutuan Bola Keranjang Malaysia (MABA), bagi mengenal pasti atlet atau lagenda yang mampu membawa imej baik serta memberi motivasi kepada anak-anak muda berkaitan bola keranjang.
“Insya-Allah, mungkin saya sendiri atau Majlis Sukan Negeri Johor akan berhubung dengan pihak Datuk Seri (Presiden MABA) untuk mencari tokoh yang sesuai, bukan sahaja dari Johor, tetapi juga dari negeri-negeri lain, demi menarik minat belia terhadap sukan bola keranjang sebagai satu motivasi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan perlawanan Kejohanan Bola Keranjang Kebangsaan MABA/MATRIX Bawah 17 Tahun kali ke-59 yang berlangsung di Larkin, di sini.