JOHOR BAHRU, 2 Jun – Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) kini giat memperkasakan acara perlawanan tiga lawan tiga, susulan potensinya untuk menyumbang pingat emas kepada negara dalam temasya Sukan SEA akan datang.
Presiden MABA, Datuk Seri Lee Tian Hock berkata kelebihan acara itu adalah pada tempoh permainan yang singkat serta keperluan fizikal yang lebih seimbang, berbanding perlawanan tradisional lima lawan lima yang banyak mengutamakan ketinggian pemain.
“Dalam lima lawan lima, pemain perlu tinggi. Fizikal kita tidak benarkan kerana kita kurang dari segi ketinggian. Negara seperti Filipina dan Thailand semua pemain mereka tinggi-tinggi. Tetapi dalam tiga lawan tiga, ketinggian tidak begitu mustahak kerana permainan hanya 10 minit, perlu pantas, boleh menjaringkan gol dan hanya sampai 21 mata. Stamina perlu kuat, jadi ini adalah acara yang kita berpotensi menang pingat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan perlawanan antara Johor dan Terengganu dalam Kejohanan Bola Keranjang Kebangsaan MABA/MATRIX Bawah 17 Tahun yang berlangsung di Larkin, di sini.
Menurut beliau, kejohanan tersebut turut dijadikan sebagai platform pemilihan pemain untuk mewakili negara dalam kategori tiga lawan tiga.
Dalam perkembangan berkaitan, Lee turut memaklumkan lima daripada 12 pemain skuad kebangsaan bola keranjang ketika ini merupakan atlet dari negeri Johor.