PARIS, 2 Jun – Paris Saint-Germain (PSG) meraikan kejayaan bersejarah menjulang trofi Liga Juara-Juara UEFA pertama mereka dalam satu sambutan meriah di Stadium Parc des Princes yang penuh sesak, pada Ahad malam.
Sambutan itu diadakan 24 jam selepas PSG membelasah Inter Milan 5-0 dalam perlawanan akhir yang berlangsung penuh bergaya, sekali gus melakar sejarah sebagai kelab Perancis pertama memenangi tiga kejuaraan utama dalam satu musim.
Kemeriahan sambutan diserikan dengan sorakan padu ribuan penyokong yang menyalakan suar dan menyanyikan lagu semangat sambil mengenakan warna rasmi kelab, biru dan merah.
Para penyokong turut memberi penghormatan kepada barisan pemain muda yang menjadi tulang belakang kejayaan PSG musim ini, termasuk Gianluigi Donnarumma, Achraf Hakimi, Ousmane Dembele, Desire Doue, Vitinha, Joao Neves dan Kvicha Kvaratskhelia.
Skuad bertaraf bintang itu dibentuk hasil pelaburan besar pemilik kelab dari Qatar.
Kejayaan itu turut mencatat detik manis apabila pasukan muda PSG berjaya merangkul kejuaraan yang gagal dicapai oleh barisan bintang ternama seperti Lionel Messi, Neymar dan Kylian Mbappe ketika mereka beraksi bersama kelab tersebut.
Dengan kemenangan ini, PSG menjadi pasukan Perancis kedua yang menjulang trofi berprestij Liga Juara-Juara, selepas Olympique de Marseille melakukannya pada tahun 1993.-REUTERS