fb fb fb fb fb

Jersi Maradona catat rekod dunia dilelong dengan harga AS$9.28 juta

ANKARA, 5 Mei - Jersi dipakai Diego Maradona ketika menjaringkan gol menentang England dalam Piala Dunia 1986 dijual dalam lelongan di Sotheby's, London pada Rabu dengan harga AS$9.28 juta sekali gus mencatatkan rekod dunia. 

Jualan berkenaan turut mencatat rekod tertinggi untuk mana-mana barangan cenderahati sukan pernah dijual, menurut syarikat yang menguruskan lelongan berkenaan, Sotheby's.

Tujuh pembida bersaing merebut jersi berkenaan yang dilelong sejak 20 April lalu dan berakhir semalam, namun Sotheby's enggan mendedahkan nama pembeli yang memenangi bidaan.

Rekod sebelum ini dipegang Babe Ruth untuk jersi yang dipakainya dalam perlawanan musim 1928-1930 bersama New York Yankees yang dijual pada harga AS$5.64 juta pada 2019.


(Foto AFP)

"Jersi bersejarah ini adalah kenangan untuk saat penting bukan saja dalam sejarah sukan, tetapi sejarah abad ke-20.

 "Ia adalah jersi bola sepak paling bermakna pernah dilelong, jadi amat bersesuaian ia mencatat rekod lelongan barangan sepertinya," kata Sotheby's.

Gol jaringan Maradona ketika itu menjadi popular dan dikenali  "hand of God” membolehkan Argentina menewaskan England untuk merangkul Piala Dunia yang kedua dan terakhir pasukan itu setakat ini.

Ketika itu Maradona berusia 25 tahun selaku kapten Argentina.

Maradona, meninggal dunia akibat kegagalan jantung pada 25 November 2020 dan dianggap antara bintang bola sepak terhebat dunia. 

Media Baharu