fb fb fb fb fb

Jerman juara SOJC 2023

Pasukan Jerman meraikan kejayaan selepas muncul Juara Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2023 dengan menewaskan Australia 3-1 / Foto Bernama

JOHOR BAHRU, 5 November - Pasukan Jerman muncul juara kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2023 selepas menewaskan Naib Juara tahun lalu, Australia 3-1 menerusi penentuan pukulan penalti pada perlawanan akhir di Stadium Hoki Taman Daya, di sini pada Sabtu.

Tidak mahu membuat kesilapan yang boleh menghukum, kedua-dua pasukan menampilkan permainan berhati-hati sepanjang 60 minit perlawanan. 

Jerman terlebih dahulu meraih gol pertama pada minit ke 20 hasil pukulan sudut penalti namun dibatalkan.

Tiga peluang dimiliki Australia menerusi pukulan penalti turut gagal dimanfaatkan.

Juara tahun lalu, India di tempat ketiga selepas mengatasi Pakistan dengan kemenangan 9-8 juga menerusi penentuan pukulan penalti selepas perlawanan berkesudahan seri 3-3.

Penjaga gol Australia, Max Larkin dinobat pemain terbaik perlawanan akhir, manakala penjaga gol terbaik keseluruhan menjadi milik Joshua Onyekwue Inaji dari Jerman.

Pemain India, Amandeep Lakra menerima anugerah penjaring terbanyak manakala pemain terbaik keseluruhan, milik kapten Jerman, Matteo Poljaric. 

Hadiah disampaikan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim yang hadir menyempurnakan majlis.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN