KOTA BHARU, 4 November- Hasrat Kelantan United FC (KUFC) untuk melangkah ke perlawanan akhir Piala Cabaran Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) 2023 tidak kesampaian apabila tunduk 0-2 kepada Kuching City FC di laman sendiri, di Stadium Sultan Muhammad ke-4 Kota Bharu petang tadi.
Turun beraksi dalam cuaca panas terik, kedua-dua pasukan dilihat saling berbalas serangan bagi mencari gol awal.
Pasukan pelawat, yang terkenal dengan jolokan 'The Cats' kelihatan lebih bernafsu bagi mencari kemenangan dengan menampilkan corak permainan lebih bertenaga.
The Cats hampir-hampir memperoleh gol awal menerusi dua percubaan pemain import, Abu Kamara yang tidak dikira kerana dikesan berada pada kedudukan ofsaid. Manakala satu lagi percubaan menerusi rembatan sedikit tersasar.
Usaha berterusan 'The Cats' membuahkan hasil apabila Abu Kamara memecahkan kebuntuan pada minit ke-39 apabila tenang menolak masuk bola ke gawang KUFC menewaskan penjaga gol Sang Kijang Hijau, Mohd. Shahril Sa’ari.
Pasukan tuan rumah cuba bangkit bagi menyamakan kedudukan, namun tandukan kapten pasukan, Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-45 terkena palang dan menyaksikan kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Kelantan United (KUFC) terus berusaha mencari gol penyamaan sementara pasukan pelawat terus mengintai peluang bagi menggandakan jaringan.
'The Cats' menambah derita tuan rumah apabila sepakan percuma diambil Bruno Dybal pada minit ke-63 menerjah ke gawang Kelantan United untuk gol kedua pelawat.
Ketinggalan dua gol, Sang Kijang Hijau menggandakan usaha untuk mencari gol, namun berdepan kesukaran bagi memecahkan kekebalan benteng pertahanan pelawat yang kental mempertahankan kelebihan jaringan dimiliki.
Kuching City terus mendominasi perlawanan pada minit-minit akhir permainan untuk memastikan kemenangan menjadi milik mereka sekali gus melangkah ke perlawanan akhir saingan Piala Cabaran MFL dengan agregat 3-1.