KUALA NERUS, 18 Januari- Separuh akhir pertama Piala Malaysia 2024/2025 antara Terengganu FC (TFC) yang melayan kunjungan pasukan gergasi selatan tanah air Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam tadi menyaksikan keputusan 4-0.
Kemenangan itu sekali gus memberi keselesaan kepada Harimau Selatan pada aksi timbal balik separuh akhir kedua pada 1 Februari ini di Stadium Sultan Ibrahim.
Pada separuh masa pertama pasukan pelawat dilihat lebih mendominasi permainan dengan melakukan beberapa gerakan berbahaya ke kubu Sang Penyu terutama di bahagian sayap kiri dan kanan ditunjangi Ariff Aiman dan Bergenson Da Silva.
Manakala TFC pula dilihat sekali sekala dapat melakukan serangan dengan gerak balas pantas ke kubu gawang yang dikawal Ahmad Syihan Hazmi.
Pasukan JDT memperoleh gol pertama dan pembukaan perlawanan pada minit ke-16 menerusi kuisan Romel Morales selepas memanfaatkan bola tampanan Penjaga Gol Muhamad Rahadiazli yang juga hasil percubaan pemain nombor 19 itu dalam kotak penalti.
Pada minit-35, Romel sekali lagi meledakkan jaringan gol, namun beberapa minit kemudian sebelum sepak mula, pengadil perlawanan Fitri Maskom membatalkan kembali keputusan gol itu selepas merujuk kepada teknologi video bantuan pengadil (VAR).
Keputusan tersebut dibuat selepas mengesan berlakunya insiden kekasaran ketika perebutan bola, sebelum itu.
Malah insiden hampir sama pada minit ke-50, sekali lagi sistem tersebut digunakan, dan pengadil membatalkan keputusannya iaitu penalti yang diberikan kepada JDT sebelum itu.
Susulan Ariff Aiman yang didakwa dikasari Muhamad Alif Zakaria di dalam kotak penalti.
Namun begitu pada minit ke-78, Ariff tidak mensia-siakan peluang selepas berjaya memperdayakan tiga pemain pertahanan TFC untuk merembat masuk gol kedua JDT melepasi jangkauan Rahadiazli.
Pada minit ke-84, Ariff sekali lagi menjadi duri dalam daging apabila mudah menolak masuk bola hantaran Juan Munez untuk gol ketiga JDT.
Sebelum Bergenson meledakkan gol keempat untuk JDT pada minit masa tambahan dan kemudiannya berapa minit kemudian wisel penamat dibunyikan Fitri Maskom.
Sekali gus mengesahkan keputusan perlawanan pada aksi pertembungan pertama timbal balik separuh akhir ini, TFC-0, JDT-4 di Kuala Nerus.
Dalam pada itu JDT tidak mengambil mudah pertemuan pada separuh akhir pertama malam tadi dan mengakui amat tercabar untuk memperoleh jaringan terutama dihadapan 11,000 penyokong setia tuan rumah.
Menurut Ketua Jurulatih JDT Hector Bidoglio tekanan amat dirasai pada separuh babak pertama apabila TFC tampil penuh tekanan serta sekali sekali melakukan gerakan serangan pantas.
"Perlawanan pada malam ini agak sukar, ia memberi tekanan besar kepada kami untuk mempamerkan aksi. Kita boleh lihat bahawa pasukan Terengganu bermain dengan sangat baik dalam aksi timbal balas ini.
"Tetapi kita berjaya mempertahankan situasi semasa perlawanan. Jadi kita boleh lihat Terengganu pasukan yang baik. Sekarang fokus kami pada perlawanan kedua," katanya.
Sementara itu ketua jurulatih TFC Badrul Afzan Razali tetap memuji aksi permainan anak-anak buahnya terutama pada aksi separuh masa pertama, khususnya penjaga gol Muhammad Rahadiazli Rahalim.
Pengendali skuad penyu itu juga mengakui peluang mereka agak tipis untuk bangkit di laman lawan pada aksi kedua nanti.
"Jadi 22 ini dan kita memikirkan JDT pada perlawanan kedua di Stadium Sultan Ibrahim.
"Saya harap pemain-pemain dapat pengalaman ini, sebab perlawanan pada jarak dekat. Kita akan beraksi pada Shopee Cup dan Piala Malaysia, jadi memang memerlukan rehat yang cukup," katanya.
Bagaimanapun beliau mahu skuad TFC memberi tumpuan kepada persaingan liga dan Piala Shopee Kelab-Kelab Asean 2024/2025.