(Tunku Mahkota Johor, pemilik kelab JDT berkenan menjulang Piala FA
selepas memenangi perlawanan Final Piala FA, di Stadium Sultan Ibrahim/BERNAMA)
ISKANDAR PUTERI, 22 Julai- Johor Darul Takzim (JDT) berjaya mengekalkan kejuaraan selepas menumpaskan KL City, 2-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Dua jaringan yang terhasil pada babak kedua menyaksikan JDT menepati ramalan menjulang Piala FA itu buat kali kedua berturut-turut.
Beraksi di hadapan lebih 30,000 penyokong, kedua-dua pasukan tampak seimbang pada babak pertama dengan KL City terlebih dahulu menguji Syihan Hazmi menerusi percubaan Matko Zirdum pada minit ke-16.
Seakan mendapat rentak, anak buah Bojan Hodak terus melancarkan serangan dan hampir sahaja di depan hasil rembatan T. Saravanan.
(Pasukan JDT dinobatkan juara Piala FA 2023 selepas menewaskan Kuala Lumpur City FC 2-0/BERNAMA)
Babak kedua menyaksikan JDT lebih banyak menguasai perlawanan dan menguji Kevin Mendoza. Hasilnya pada minit ke-66, rembatan luar kotak penalti Hong Wan gagal diselamatkan seterusnya meletakkan JDT di depan.
Belum sempat KL City mengatur semula rentak, giliran Leandro Velazquez pula mengukir nama selaku penjaring, apabila rembatan leretnya menerjah jaring pada minit ke-74. Kemasukan Tchetche Kipre juga gagal mengubah rentak serangan KL City.
Keputusan itu menyaksikan KL City terlepas peluang mendapat slot automatik ke saingan peringkat kumpulan Piala AFC.
Manakala JDT berjaya menjulang piala kedua musim ini selepas Piala Sumbangsih pada permulaan musim.