fb fb fb fb fb

Pemain alami cirit birit, demam, muntah; Barca batal aksi menentang Juventus

(FOTO IG @fcbarcelona)

SAN FRANCISCO, 23 Julai- Perlawanan persahabatan Barcelona menentang Juventus di San Francisco pada Sabtu telah dibatalkan selepas kebanyakan pemain mengalami gejala sakit perut dan demam.

"Sebahagian besar skuad Barca mengalami virus gastroenteritis," kata Barcelona dalam satu kenyataan.

Perlawanan di Stadium Levi berkapasiti 68,500 penonton, 'rumah' kepada pasukan NFL's San Francisco 49ers, adalah sebahagian daripada Soccer Champions Tour, yang menampilkan enam kelab terkemuka Eropah, dan telah dijangka menarik penonton yang ramai.

Presiden Barcelona Joan Laporta berkata dalam komen yang disiarkan di laman web pasukan itu bahawa tarikh baharu belum diputuskan untuk menjadualkan semula perlawanan itu.

“Ia sangat sukar untuk pasukan dan pada masa sama ia sangat sukar untuk penyokong kami,” katanya.

Barcelona dijadualkan menentang kelab Liga Perdana Inggeris, Arsenal pada hari Rabu di Stadium SoFi.

Kemudian mereka akan ke Dallas untuk bertemu dengan satu lagi pasukan Sepanyol, Real Madrid Sabtu depan.

Barca dijadualkan menamatkan jelajah mereka dengan perlawanan menentang AC Milan di Las Vegas pada 1 Ogos.

Laporta berkata majoriti pemain Barcelona terjejas oleh penyakit itu, tetapi tidak memberikan jumlah sebenar pemain yang terjejas.

Media Sepanyol melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 12 pemain telah jatuh sakit.

Terdahulu, Barcelona telah menjalani latihan di Los Angeles, di mana pada hari Jumaat mereka secara rasmi mempersembahkan pemain baru Oriol Romeu, yang membantu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Sergio Busquets menyertai Inter Miami.

Pemain berusia 31 tahun itu merupakan 'pembelian' ketiga Barca untuk musim depan, selepas pemain tengah Jerman Ilkay Gundogan dan bek tengah Inigo Martinez.

Penyakit Gastroenteritis adalah keradangan pada lapisan usus yang berpunca daripada jangkitan.

Kebanyakkan jangkitan disebabkan oleh virus, namun ia juga boleh berpunca daripada bakteria atau parasit. Ia tersebar melalui makanan atau air tercemar dan kemudiannya, berhubung dengan individu yang berjangkit.

Biasanya tanda dan gejala bagi penyakit gastroenteritis adalah sakit yang luar biasa atau kejang, cirit birit, loya dan muntah-muntah, turun berat badan, demam serta kesejukan atau sakit kepala. -AFP


(Sesi latihan Barcelona di Los Angeles)

Media Baharu