ISKANDAR PUTERI, 30 Ogos - Johor Darul Ta’zim (JDT) terus membuktikan mereka berada dalam kelas tersendiri membenam Melaka United FC 4-0 di Stadium Sultan Ibrahim,di sini pada Isnin.
Kemenangan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan terus unggul di persada liga dengan 41 mata.
Selepas tersingkir dari pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia minggu lalu, JDT kembali menebusnya dengan membelasah Melaka United dengan 4 jaringan pada aksi di laman sendiri.
Skuad kendalian Hector Bidoglio itu mendominasi permainan separuh masa pertama dan memulakan pesta gol seawal minit ke-13 menerusi Fernando Forestieri.
Penyerang sensasi dari Brazil, Bergson Da Silva juga tidak ketinggalan untuk menghadiahkan dua jaringan pada minit 32 dan 42.
Melaka United yang dibimbing Mohd Asri Ninggal pula mempunyai peluang keemasan menggegar jaring JDT pada minit 56 menerusi Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, namun berjaya diselamatkan penjaga gol muda tuan rumah, Muhammad Haziq Nadzli.
(Penyerang sensasi dari Brazil, Bergson Da Silva menghadiahkan dua jaringan pada minit 32 dan 42/FOTO Facebook JDT)
Skuad Harimau Selatan pula hampir berjaya menambah jaringan menerusi penalti, namun ia disia-siakan oleh Leandro Velasquez.
Bagaimanapun, Bergson akhirnya menutup pesta tersebut dengan jaringan hatriknya pada minit ke 85, yang juga gol ke-20 dalam saingan liga musim ini, sekali gus menjamin 3 mata berharga buat JDT.
Kemenangan itu menyaksikan JDT mengekalkan rekod tanpa kalah selepas 15 perlawanan, enam mata mengatasi Sabah FC.