OSAKA, 31 Ogos- Beregu wanita utama negara, Pearly Tan dan M Thinaah mara ke pusingan kedua selepas mengejutkan pasangan nombor 2 dunia, Lee So Hee-Shin Seung Chan dari Korea Selatan.
Pearly dan Thinaah mencatat keputusan 16-21, 21-14 dan 21-18 dalam tempoh 61 minit.
(Foto FB Badminton Association of Malaysia - BAM)
Tewas set pertama 21-16, pemenang pingat emas Komanwel Birmingham itu berjaya mengurangkan kesilapan-kesilapan mudah untuk mengikat kedudukan di set kedua dengan 21-14.
Ketinggalan 9-4 pada awal set penentuan, pasangan negara berjaya bangkit memperbaiki aksi dan menang 21-18.
Pearly-Thinaah bakal bertemu satu lagi wakil Korea Selatan, BAEK Ha Na-LEE Yu Lim di pusingan kedua.....
Satu lagi wakil beregu wanita negara, Vivian Hoo dan Lim Chiew Sien turut mara selepas menumpaskan wakil Jerman, Linda Efler dan Isabel Lohau 21-17, 23-21.
Dalam kategori beregu campuran pula, Hoo Pang Ron dan Toh Ee Wei menewaskan rakan senegara Chen Tang Jie dan Peck Yen Wei 23-21, 22-24, 21-17 untuk mara ke pusingan seterusnya.
Sementara itu, hasrat beregu muda negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzudin untuk mara lebih jauh tidak kesampaian apabila tumpas 17-21, 21-18 dan 19-21 kepada gandingan Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri dan Bagas Maulana.
Nasib sama dialami gandingan Anna Cheong dan Teoh Mei Xing yang turut terkandas..