fb fb fb fb fb

Jawatankuasa RTG pertimbang senaraikan Sze Fei-Izzudin

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh

KAJANG, 14 Oktober- Jawatankuasa Program Road to Gold (RTG) sedia pertimbang untuk menyenaraikan beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzudin Mohd Rumsani dalam program berkenaan pada mesyuarat akan datang.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata ia dibuat selepas Sze Fei-Izzuddin kini berada dalam kelompok 10 terbaik dunia.

Kedudukan itu sekali gus menepati kriteria untuk disenaraikan dalam RTG.

"Sekarang ini, untuk RTG memang kedudukan 10 terbaik dunia dalam bidang sukan masing-masing. Kita akan bantu mereka ke Sukan Olimpik."

"Saya kira dengan prestasi Sze Fei dan Nur Izzuddin, ada harapan besar untuk kita masukkan dalam jawatankuasa RTG," kata Hannah kepada pemberita, hari ini.

Semalam, Sze Fei dan Izzuddin raih kejuaraan ketiga mereka musim ini selepas menjuarai Terbuka Artik, menewaskan beregu kedua dunia dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skarup Rasmussen dalam aksi akhir.

Sementara itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Jabatan Penjara Malaysia komited untuk perkasa program latihan kemahiran golf dalam kalangan belia di penjara seluruh Malaysia.

Jelas Hannah, ia dapat membantu meningkatkan kompetensi individu serta membuka peluang kepada mereka menceburi bidang pekerjaan dalam sektor industri golf.

Beliau percaya dengan bimbingan tenaga pengajar bertauliah daripada Akademi Kemahiran Belia Golf (AKBG), peserta-peserta akan dapat latihan yang berkualiti.

Seramai 20 orang prospek lelaki mengikuti latihan kemahiran siri satu bermula hari ini hingga Jumaat.

Prospek yang mengikuti latihan berkenaan berpeluang menyambung pengajian dalam Program Kursus Perkhidmatan Kedi sepenuh masa selama enam bulan di AKBG.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM