fb fb fb fb fb

Jaringan sendiri Wensley nafi KUFC kutip tiga mata di laman sendiri

(Pemain JDT II, Mussa Sidibe (kiri) diasak pemain Kelantan United FC, Evan Wensley Wenceslaus dalam perlawanan
Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV/ Foto BERNAMA)

KOTA BHARU, 3 Ogos - Kelantan United FC (KUFC) gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri selepas sekadar seri 1-1 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) II pada aksi Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini hari ini.

Skuad tuan rumah bermula garang apabila hanya memerlukan 12 minit untuk membuka akaun gol menerusi Mohammad Amirul Shafik Che Soh apabila bijak menolak masuk bola hasil gerakan solo pemain import, Njoku Jacob dari sebelah kiri pertahanan lawan.

KUFC terus merancakkan gerakan serangan bagi melebarkan jurang menerusi hantaran pendek dalam kawasan JDT II sebelum pasukan pelawat hampir menyamakan kedudukan yang menyaksikan percubaan Gabrial Nistelrooy diselamatkan penjaga gol, Mohammad Fikri Che Soh dalam situasi satu lawan satu pada minit ke-34.

 
(Penjaga gol JDT II, Mohd Izham Tarmizi Roslan (dua, kiri) berjaya menyelamatkan sepakan pemain Kelantan
United FC dalam perlawanan Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV/ Foto BERNAMA)

Bersambung babak kedua, JDT II yang lebih menguasai perlawanan menggandakan asakan sementara KUFC menampilkan disiplin bertahan tinggi untuk mengekang setiap asakan.

Namun, hasrat KUFC mengutip tiga mata penuh dimusnahkan pemain pertahanannya, Evan Wensley yang tertanduk bola masuk ke gawang sendiri pada masa tambahan babak kedua sekali gus kedua-dua pasukan membawa pulang satu mata. -BERNAMA

 

Media Baharu