BOLOGNA, 22 November - Itali semakin hampir meraih gelaran Piala Davis buat kali ketiga berturut-turut selepas Flavio Cobolli menyelamatkan tujuh mata kemenangan sebelum menumpaskan pemain Belgium, Zizou Bergs, sekali gus memastikan kemenangan 2-0 dalam aksi separuh akhir, pada Jumaat (21 November).
Cobolli, 23, yang mendapat sorakan padu penyokong tuan rumah di Arena SuperTennis, bangkit mengesahkan kemenangan 6-3, 6-7(5), 7-6(15) dengan tiebreak set ketiga dianggap antara yang terbaik pernah disaksikan dalam sejarah pertandingan itu.
Kedua-dua pemain mempamerkan aksi penuh bertenaga dengan beberapa rali panjang yang menguji ketahanan fizikal.
Bagaimanapun, Cobolli yang turut mensia-siakan enam mata kemenangan pertama, tetap tenang sebelum melakukan servis kencang yang gagal dikembalikan lawan sekali gus mencetuskan sorakan gemuruh penyokong.
Terdahulu, Matteo Berrettini membuka tirai kemenangan Itali apabila menundukkan Raphael Collignon 6-3, 6-4. Kemenangan itu merupakan kemenangan kelapan berturut-turut Berrettini dalam kejohanan tersebut selepas memenangi semua enam perlawanan tahun lalu ketika Itali mempertahankan kejuaraan.
Itali kini memburu gelaran hatrik pada final Ahad (23 November) menentang sama ada Jerman atau Sepanyol yang akan berentap pada Sabtu (22 November).
Jika berjaya mempertahankan kejuaraan, Itali akan menjadi negara pertama mencatat tiga gelaran berturut-turut sejak format Challenge Round dimansuhkan selepas edisi 1971.- REUTERS