MANCHESTER, 22 November - Manchester United bakal beraksi tanpa penyerang Benjamin Sesko untuk beberapa minggu, jelas pengurus pasukan itu, Ruben Amorim, pada Jumaat (21 November) menjelang aksi Liga Perdana Inggeris menentang Everton di Old Trafford pada Isnin.
Sesko mengalami kecederaan lutut ketika United seri 2-2 menentang Tottenham Hotspur dalam aksi terakhir sebelum rehat antarabangsa, sekali gus menyertai Harry Maguire dalam senarai kecederaan, manakala Kobbie Mainoo masih diragui selepas tidak menjalani latihan pada Jumaat.
Jurulatih dari Portugal itu optimis Sesko dapat kembali semula sebelum Bryan Mbeumo (Cameroon) dan Amad Diallo (Ivory Coast) berangkat ke Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) yang bermula 21 Disember.
"Dia akan berehat beberapa minggu. Saya tidak pasti berapa lama, tetapi kecederaannya tidak terlalu serius. Kita perlu berhati-hati dengannya. Dia sedang menjalani pemulihan dan semakin baik. Jadi, dalam beberapa minggu, saya jangka Ben akan kembali," katanya.
Amorim turut mengesahkan United sedang berusaha merundingkan tarikh pelepasan untuk Mbeumo dan Diallo bagi tugasan AFCON, memandangkan kedua-duanya bakal terlepas beberapa perlawanan penting sepanjang tempoh perlawanan.
"Kita terikat dengan peraturan tentang bila pemain perlu dilepaskan. Kami sedang berusaha untuk mengekalkan mereka sedikit lebih lama, tetapi ia bukan sepenuhnya keputusan kami. Kita perlu menghormatinya. Kami akan cuba lakukan yang terbaik untuk melindungi kelab, pemain dan juga pasukan kebangsaan," katanya.
Mengikut peraturan FIFA, pemain perlu dilepaskan oleh kelab dan memulakan perjalanan selewat-lewatnya pagi Isnin pada minggu sebelum bermulanya kejohanan, iaitu 8 Disember bagi AFCON.
Ketika ini, United berada di kedudukan ketujuh dengan 18 mata, hanya satu mata daripada kelompok empat teratas, manakala Everton menghuni tangga ke-13 dengan tiga mata di belakang.
Walaupun hanya tiga daripada 10 perlawanan seterusnya membabitkan pasukan dalam kelompok 10 terbaik, Amorim menolak andaian bahawa jadual United kini lebih mudah.
"Kedudukan liga tidak penting. Semua pasukan begitu rapat sehingga ia tidak memberi apa-apa makna. Jika anda tahu sejarah pasukan kami, anda tidak akan tahu di mana perlawanan sukar itu muncul," katanya.
Pertembungan Isnin ini menandakan genap setahun Amorim mengambil alih tugas sebagai pengurus United, dengan pasukan itu menunjukkan peningkatan sejak kebelakangan ini, meraih tiga kemenangan dan dua keputusan seri dalam lima perlawanan terakhir.- REUTERS