KUALA LUMPUR, 22 Februari - Penentuan hak sebagai tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) diputuskan bersama menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma melibatkan wakil kesemua 14 negeri.
Majlis Sukan Negara (MSN) berkata pendekatan yang digunakan kini adalah penggiliran mengikut zon dimana setiap negeri diberikan peluang untuk menjadi tuan rumah temasya yang menjadi platform pertandingan untuk atlet berumur bawah 21 tahun itu.
"Sistem pusingan tuan rumah Sukma mengikut zon mula dilaksanakan pada 2002 di Sabah," katanya menerusi kenyataan.
Penjelasan tersebut dibuat susulan wujud kekeliruan berhubung hak penganjuran temasya berkenaan.
MSN turut memaklumkan, mesyuarat juga memutuskan MSN akan menganjurkan Sukma ke-21 bersama-sama Selangor atau Wilayah Persekutuan pada 2024 sementara Kelantan sebagai tuan rumah Sukma 2026.
"Bagaimanapun, MSN menjelaskan Johor memohon kepada Jawatankuasa Tertinggi Sukma supaya diberikan hak penganjuran Sukma 2024 dan mesyuarat pada Oktober 2021 meluluskan permohonan itu serta MSN selaku tuan rumah pada Sukma 2022," katanya.
Dalam pada itu, MSN berkata hak Kelantan selaku tuan rumah Sukma ke-22 pada 2026 tetap kekal seperti diputuskan sebelumnya.