fb fb fb fb fb

Inter Milan dihimpit krisis kewangan

ISTANBUL, 11 Jun-Kelab gergasi Itali, Inter Milan kembali berpijak di bumi selepas tewas kepada Manchester City pada perlawanan akhir Liga Juara pada Ahad.

Krisis kewangan yang melanda Inter, salah satu kelab tertua di Eropah menyebabkan misi kelab tersebut bagi mendakap kejuaraan Liga juara buat kali keempat terbantut.

Inter Milan yang memperagakan permainan tersusun hampir-hampir mengejutkan Manchester City pada perlawanan tersebut.

Namun, Inter gagal menggunakan peluang yang ada, sebaliknya Manchester City yang dipunyai pemilik dari Abu Dhabi yang telah menyasarkan kejuaraan berkenaan sejak lama dahulu menerusi pelaburan pemain berstatus bintang dan jurulatih terbaik dunia berjaya mendakap piala berkenaan.

Jurulatih Inter, Simone Inzaghi mendedahkan selepas berjaya mara ke perlawanan akhir Liga Juara, barisan pemain-pemainnya kini bersedia bagi memenangi kejuaraan tersebut pada musim akan datang.

"Para pemain memperoleh pengalaman berguna dan kami akan cuba memenangi (Liga Juara) pada masa akan datang", katanya kepada pemberita.

Inzhagi juga mendakwa 'mentaliti baharu' telah tercipta di kelab berkenaan.

"Pada 20 bulan lalu, kami bermain di tiga perlawanan akhir. Salah satunya adalah Liga Juara.

"Sekiranya kami dapat bermain pada perlawanan seperti ini, ia adalah sangat baik bagi Inter", katanya.

Namun, Inter tidak mampu bersaing dari sudut kewangan berbanding kelab Liga Perdana Inggeris meski, mempunyai penyokong yang ramai.

Krisis hutang yang melambung mengancam kelab berkenaan yang sebelum ini memenangi kejuaraan Serie A dua tahun lalu.

Pemilik kelab itu yang berasal dari China, Suning terpaksa membayar kembali hutang bernilai kira-kira AS$294 juta yang dipinjam daripada dana pelaburan Oaktree Capital yang mengenakan faedah sebanyak 10 peratus.

Pinjaman tersebut perlu dijelaskan dalam masa setahun atau Inter bakal diambil alih oleh Oaktree Capital seperti mana nasib yang dialami oleh AC Milan yang menyaksikan kelab berkenaan diambil alih oleh Elliot Management daripada ahli Perniagaan China, Li Yonghong pada 2018.

Musim lepas, Inter merekodkan kerugian hampir AS$150 juta setahun akibat pandemik COVID-19.

Kemaraan Inter di Liga Juara musim ini dilihat mampu membantu kewangan kelab berkenaan musim ini. Namun, isu utama masih lagi tidak selesai.

Inter Milan belum lagi mempunyai stadium sendiri selepas rancangan membina stadium San Siro yang baharu bersama AC Milan terpaksa dihentikan. Keadaan itu menyebabkan kelab berkenaan bermasalah dalam hak penyiaran televisyen.

Kelab Serie A memperolehi hanya lebih 1 bilion Euro daripada hak domestik dan luar negara musim ini berbanding Kelab Liga Perdana Inggeris.

Dalam pada itu, inter dilihat bakal kehilangan beberapa pemain utamanya seperti Romelu Lukaku yang merupakan pemain pinjaman dari Chelsea.

Kelab tersebut masih lagi belum membuat sebarang keputusan bagi melanjutkan perjanjian pinjaman pemain berkenaan.

Selain itu, penyerang veteran Edin Dzeko yang berusia 37 tahun bakal tamat kontrak bersama Inter musim ini dan dilaporkan menjadi sasaran kelab Turki, Fenerbahce.

Krisis kewangan berterusan bakal merencatkan perancangan Simone Inzaghi bagi membentuk pasukan tersebut memburu kejuaraan Serie A dan mencipta kejutan di Liga Juara musim depan-AFP



(Jurulatih Inter, Simone Inzaghi/FOTO AFP)

 

Media Baharu