SAN SALVADOR, 30 September - Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengenakan tindakan disiplin terhadap Persekutuan Bola Sepak El Salvador (FESFUT) susulan tingkah laku perkauman dan diskriminasi penyokong ketika aksi kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Suriname.
FIFA melalui Jawatankuasa Disiplin mengenakan denda berjumlah AS$62,715 atau (RM296,000) yang akan dilaburkan ke dalam pelan komprehensif antidiskriminasi yang telah diluluskan sebelum ini.
Selain itu, perlawanan membabitkan skuad El Salvador perlu berlangsung dengan penutupan minimum 15 peratus kapasiti stadium, khususnya di bahagian tempat duduk belakang gol.
“FIFA melalui Jawatankuasa Disiplin memaklumkan pengenaan hukuman terhadap Persekutuan kami susulan insiden perkauman dan diskriminasi yang berlaku ketika perlawanan antara El Salvador dan Suriname,” kata FESFUT dalam satu kenyataan.
Perlawanan itu berlangsung pada 8 September di Stadium Cuscatlan, menyaksikan penyokong tuan rumah didakwa melemparkan kata-kata berbaur perkauman serta membuat isyarat menghina terhadap pemain Suriname.
FESFUT menegaskan pihaknya menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk perkauman atau diskriminasi.
FESFUT beriltizam bekerjasama dengan FIFA, CONCACAF serta badan antarabangsa lain bagi memastikan El Salvador bermain dalam suasana penuh hormat, kesaksamaan dan perpaduan.
Skuad kendalian jurulatih Colombia, Hernan “Bolillo” Gomez, kini berada di tangga kedua Kumpulan A kelayakan dengan tiga mata, di belakang pendahulu Suriname (empat mata), manakala Panama di tempat ketiga (dua mata) dan Guatemala (satu mata).
El Salvador dijadualkan menentang Panama pada 10 Oktober sebelum berdepan Guatemala empat hari kemudian. - REUTERS