JOHOR BAHARU, 30 September - Pemain tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Afiq Fazail dan atlet ping pong kebangsaan, Tee Ai Xin dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Johor di majlis Anugerah Sukan Johor (ASJ) kali ke-31 yang berlangsung malam tadi (Isnin) di sini.
Afiq muncul pemain bola sepak pertama merangkul anugerah berkenaan berdasarkan pencapaiannya membantu skuad Harimau Selatan menjulang kejuaraan Liga Super bagi musim 2023 dan 2024.
Pemain tengah berusia 31 tahun itu membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai berjumlah RM7,000.
Afiq Fazail, menzahirkan rasa syukur dengan pengiktirafan tersebut dan menitipkan pesanan buat atlet muda agar tidak berputus asa untuk berjaya.
“Alhamdulillah, pertama sekali saya rasa bersyukur dengan apa yang saya dapat ini. Saya nak berpesan kepada atlet akan datang, jangan mudah berputus asa kalau mahu terus berjaya.
"Tidak mudah untuk berjaya kerana ada jatuh dan bangun, jadi kena cekal dan kuat,” katanya ketika ditemui media.
Sementara itu, pelari negara, Umar Osman dan pemain badminton remaja,masing-masing dipilih sebagai sebagai Olahragawan dan Olahragawati Harapan Johor 2024.
Umar yang ditemui media menyifatkan anugerah berkenaan menjadi motivasi buat dirinya bagi mengejar kejayaan di Sukan Asia, SEA dan Komanwel akan datang.
“Harapan saya dalam sukan olahraga adalah untuk meraih kejayaan yang lebih besar di Sukan SEA, dan seterusnya di Sukan Asia, Komanwel serta Olimpik. Insya-Allah, sedikit demi sedikit saya akan cuba capai sasaran itu.", ujarnya.
Dalam pada itu, pasukan JDT turut menerima pengiktirafan sebagai Pasukan Lelaki Terbaik, manakala Pasukan Bola Keranjang Wanita Johor diangkat sebagai Pasukan Wanita Terbaik.
Majlis berprestij itu juga menyaksikan pelantikan ikon belia melibatkan Farkhan Harun, Shah Firdaus, Hafizh Syahrin serta penyanyi rap Joe Flizzow.