SEATTLE, 6 September – Jawatankuasa Penganjur Piala Liga menggantung bintang Inter Miami, Luis Suarez enam perlawanan selepas insiden meludah ke arah kakitangan Seattle Sounders pada aksi kejohanan tersebut baru-baru ini.
Sounders muncul juara dengan kemenangan 3-0 di Seattle, namun perlawanan dicemari insiden tolak-menolak antara kedua-dua pasukan yang menyaksikan Suarez meludah, manakala rakan sepasukannya, Sergio Busquets dilihat cuba melepaskan tumbukan.
Susulan itu, penganjur turut menggantung Busquets selama dua perlawanan dan pertahanan Miami, Tomas Aviles selama tiga perlawanan kerana tingkah laku agresif.
Penolong jurulatih Sounders, Steven Lenhart pula dikenakan penggantungan lima perlawanan kerana didakwa terbabit dalam salah laku ganas.
Semua penggantungan ini hanya terpakai untuk saingan Piala Liga iaitu kejohanan pertengahan musim yang membabitkan pasukan MLS dan Liga MX, yang baru sahaja menutup edisi kelima.
Bagi saingan Kejohanan Liga Bola sepak Utama(MLS), jawatankuasa berkenaan dalam kenyataan menyatakan liga “berhak mengenakan tindakan disiplin lanjut ke atas pemain dan pegawai kejurulatihan yang terbabit”.
Inter Miami dijadual menentang Sounders pada 16 September dalam aksi liga. Setakat musim ini,
Suarez menjaringkan enam gol dan 10 bantuan gol dalam 22 perlawanan MLS, selain menambah tiga gol dan tiga bantuan dalam enam aksi Leagues Cup. - REUTERS