RABAT, 6 September – Maghribi membelasah Niger yang beraksi 10 orang pemain dengan kemenangan 5-0 pada Jumaat untuk menjuarai Kumpulan E sekali gus menjadi pasukan Afrika pertama mengesahkan tiket ke Piala Dunia 2026.
Ismael Saibari meledak dua gol di babak pertama selepas Abdul-Latif Goumey dibuang padang, sebelum Ayoub El Kaabi, Hamza Igamane dan Azzedine Ounahi melengkapkan pesta jaringan pada separuh masa kedua.
Kemenangan keenam berturut-turut meletakkan Maghribi 18 mata iaitu lapan mata meninggalkan Tanzania ditangga kedua.
Kejayaan itu memastikan penampilan ketujuh Maghribi di pentas Piala Dunia dengan baki dua lagi perlawanan.
Pada Piala Dunia 2022 di Qatar, Maghribi mencipta kejutan mara sehingga separuh akhir . Pasukan Afrika utara itu turut menyingkirkan Sepanyol serta Portugal di pusingan kalah mati, sebelum tunduk 0-2 kepada Perancis.
Sementara itu, dalam saingan Kumpulan A, Mesir menewaskan Ethiopia 2-0 di Kaherah menerusi penalti Mohamed Salah dan Omar Marmoush.
Mesir boleh mengesahkan tempatberpeluang layak ke Piala Dunia jika menang menentang Burkina Faso pada Selasa.
Di Kumpulan B, Republik Demokratik Congo menundukkan Sudan Selatan 4-1 di Juba.
Republik Demokratik Congo kini di persada kumpulan , satu mata di depan Senegal yang menewaskan Sudan 2-0 hasil gol Kalidou Koulibaly dan Pape Matar Sarr.
Afrika Selatan pula kekal selesa di puncak Kumpulan C selepas menang 3-0 ke atas Lesotho di Bloemfontein hasil jaringan Mohau Nkota, Lyle Foster dan Oswin Appollis.
Namun kemenangan pasukan berkenaan terencat dengan kecederaan dua pemain pertahanan utama menjelang pertemuan dengan Nigeria.
Dalam Kumpulan F, Gambia mengejutkan Kenya 3-1 di Nairobi.
Namun,kemenangan itu tidak mengubah kedudukan kumpulan yang masih diterajui Ivory Coast dan Gabon.
Sementara itu di Kumpulan G, Guinea menewaskan Somalia 3-0 hasil jaringan Serhou Guirassy, namun peluang mereka ke Piala Dunia hampir tertutup kerana ketinggalan jauh di belakang pendahulu Algeria.- AFP