KUALA LUMPUR, 6 September - Jaguh Muay Thai negara, Johan Ghazali Zulfikar kembali menyinar apabila menewaskan lawan dari Maghribi, Zakaria El Jamari menerusi kemenangan teknikal knockout (TKO) pada pusingan pertama aksi ONE Fight Night 35 di Stadium Lumpinee, Bangkok, hari ini.
Petarung berusia 18 tahun yang lebih dikenali sebagai Jojo, hanya memerlukan dua minit 10 saat untuk mengesahkan kemenangan sulungnya pada musim 2025 dalam kelas flyweight.
Seawal loceng pertama, Jojo tampil agresif dengan serangan bertubi-tubi sehingga memaksa Zakaria bertahan di bucu gelanggang.
Satu tumbukan padu ke badan disusuli sikuan tajam akhirnya memaksa pengadil menghentikan pertarungan.
Kejayaan berkenaan menjadi suntikan semangat baharu buat Jojo selepas melalui detik sukar apabila tewas tiga daripada empat pertarungan terakhirnya sebelum ini.
Berbeza dengan aksi terdahulu, Jojo kali ini tampil lebih tenang dan tersusun, tidak memberi ruang kepada lawan untuk melakukan serangan balas.
Sementara itu, kekalahan tersebut menambah rekod buruk Zakaria yang masih tercari-cari kemenangan, malah ini merupakan kali kedua berturut-turut dia tumbang kepada petarung Malaysia selepas ditewaskan Ahmad Nor Iman Aliff Rakib, tahun lalu.