(Muhammad Azeem Mohd Fahmi mengalami kecederaan hamstring)
KUALA LUMPUR, 18 September - Impian raja pecut Sukan Malaysia (Sukma) Muhammad Azeem Mohd Fahmi menambah koleksi pingat emasnya pada temasya itu tidak kesampaian, selepas menamatkan saingan acara 200 meter (m) lelaki di kedudukan kedua, hari ini.
Beliau yang masih bergelut dengan kecederaan hamstring mencatat masa 21.03 saat, melakukan pecutan awal sebelum dikejutkan dengan pecutan 10m terakhir atlet Johor Muhammad Arsyad Md Saat.
Kejayaan Muhammad Arsyad yang dibezakan dengan 0.01 saat itu sekali gus berjaya mengubati kekecewaannya tewas kepada Muhammad Azeem bagi acara 100m tempoh hari apabila dia sekadar meraih perak.
Tempat ketiga acara itu dimenangi atlet Negeri Sembilan Muhammad Haiqal Hanafi yang mencatatkan catatan masa 21.18s.
"Kemenangan ini saya hadiahkan buat ayah saya (Md Saat Jaafar) yang menyambut hari kelahirannya ke-59,” kata Muhammad Arsyad kepada pemberita di sini hari ini.
"Sangat bersyukur dengan kejayaan ini dan ia merupakan emas pertama saya dalam penyertaan di Sukma," katanya lagi.
(Atlet Johor Muhammad Arsyad Md Saat raih emas pada acara 200 meter (m) lelaki hari ini)
Dalam pada itu bagi acara sama membabitkan kategori wanita atlet Selangor Nur Afrina Batrisyia Mohd Rizal muncul juara dengan catatan masa 24.83s.
Tempat kedua dimenangi atlet Sabah Nur Aishah Rofina Aling (25.14s) dan tempat ketiga milik atlet Pahang KM Darshini (25.74s). - BERNAMA