fb fb fb fb fb

Imigresen FC 'asah kuku' sebelum menentang Sabah

Imigresen fokus memperbaiki kelemahan pasukan /FOTO FB Malaysian Football League

BATU KAWAN, 6 Oktober - Imigresen FC mahu memanfaatkan tempoh rehat tiga minggu sebelum bertemu Sabah FC pada 26 Oktober untuk memulihkan keyakinan dan memperbaiki kelemahan pasukan.

Ketua jurulatihnya Yusri Che Lah berkata kekalahan 1-3 kepada Selangor FC malam tadi dalam saingan Liga Super membawa pengajaran bermakna buat anak buahnya yang masih dalam proses pembentukan.

“Kekalahan ini datang pada waktu yang sesuai untuk kita belajar dan memperbaiki diri.

"Kita berdepan pasukan yang sudah lama bersaing di liga, sedangkan Imigresen masih baharu dan perlu bekerja lebih keras untuk memberi saingan," katanya selepas perlawanan di Stadium Batu Kawan.

Menurutnya, selain isu kecederaan dialami pemain yang memerlukan pemantauan, tahap keyakinan pemain juga perlu dipulihkan segera.

Yusri mengakui kelemahan benteng pertahanan menjadi punca utama pasukannya mudah dibolosi.

Situasi itu perlu ditangani segera jika tidak mahu terus kehilangan mata.

Imigresen FC masih mencari kemenangan pertama selepas enam perlawanan dan kini kekal di tangga tercorot liga.

Sementara itu, pengendali Selangor FC Christophe Gamel menyifatkan kemenangan itu sebagai petanda positif terhadap perkembangan pasukannya.

Namun beliau mengakui masih banyak aspek perlu diperbaiki menjelang aksi seterusnya.

“Kami akan terus bekerja keras untuk memperkukuh apa yang telah kami bina, paling utama corak permainan menyerang kerana saya amat percaya kepada gaya permainan menyerang,” katanya.

Kemenangan itu menyaksikan Selangor FC berada di tangga kelima dengan sembilan mata selepas tiga kemenangan dan tiga kekalahan.

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN