SHAH ALAM, 16 Ogos – Lebih 300 kereta modifikasi dari dalam dan luar negara menghimpunkan tumpuan peminat automotif di International Automodified Kuala Lumpur 2025 (IAMKL 2025), yang membuka tirai hari ini di Setia City Convention Centre.
Acara dua hari sehingga esok itu merupakan pameran automotif gaya hidup terbesar di Asia Tenggara, sekali gus mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai hub modifikasi rantau ini.
Jurucakap IAM Malaysia, Shahrim Azrul berkata, penganjuran kali ini lebih istimewa dengan gabungan pameran, hiburan serta program komuniti, termasuk mengembalikan pertandingan DYNO King selepas beberapa tahun tidak dipertandingkan.
“Seperti tahun-tahun lalu, kita ada pertunjukan kereta, muzik dan persembahan DJ. Tahun ini lebih istimewa kerana kita jemput anak-anak yatim, serta membawa kembali DYNO King dan persembahan drift di luar dewan. Di dalam pula, lebih 300 kereta dipamerkan,” katanya.
IAM turut dianjurkan di Singapura, Thailand dan Indonesia, menjadi platform penting menghubungkan komuniti peminat automotif rantau ini.
Menerusi kombinasi pameran, hiburan dan elemen kebajikan, IAMKL 2025 diyakini terus menjadi acara rujukan utama dunia modifikasi serta gaya hidup automotif serantau.