KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meletakkan harapan besar kepada dua beregu utama negara sebagai sandaran terbaik pada Kejohanan Dunia 2025 di Paris, hujung bulan ini.
Presidennya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, berdasarkan ranking semasa, beregu lelaki nombor dua dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta beregu wanita Pearly Tan-M. Thinaah diyakini mampu mara sehingga ke pentas final.
““Sudah tentu harapan tinggi apabila melihat kedudukan ranking mereka. Pada pandangan saya, jangkaan minimum ialah mereka beraksi seiring dengan kedudukan itu.
"Sekurang-kurangnya, bagi beregu, peluang mara ke final adalah sesuatu yang wajar. Saya berharap mereka dapat beraksi sekurang-kurangnya pada tahap ranking mereka. Itu sekadar pandangan peribadi saya.”katanya.
Dalam undian kejohanan, Aaron-Wooi Yik akan bermula di pusingan kedua menentang sama ada Daniel Franco-Rodrigo Sanjurjo dari Sepanyol atau pasangan kembar Scotland, Christopher dan Matthew Grimley selepas mendapat bye di pusingan pertama.
Manakala Pearly-Thinaah bakal turun berdepan sama ada pasangan Hong Kong Lui Lok Lok-Tsang Hiu Yan atau gandingan Switzerland, Cloe Brand-Julie Franconville di pusingan kedua.
Kejohanan Dunia 2025 berlangsung di Paris dari 25 hingga 31 Ogos ini.