KUALA LUMPUR, 7 Januari – Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil, tercemar apabila venue tersebut mengalami kebocoran bumbung akibat hujan lebat dan angin kencang pada hari pertama kejohanan, petang tadi.
Insiden itu memaksa beberapa perlawanan ditangguhkan, termasuk perlawanan di gelanggang dua dan tiga yang terjejas teruk.
Antara perlawanan yang terganggu ialah acara beregu wanita membabitkan pasangan negara, Go Pei Kee dan Teoh Mei Xing, menentang pasangan China, Jia Yi Fan dan Zhang Shu Xian.
Petugas dilihat membentangkan kain di gelanggang untuk mengurangkan impak kebocoran.
Di gelanggang tiga, perlawanan perseorangan lelaki antara pemain Kanada, Brian Yang, dan jaguh India, H.S. Prannoy, turut tergendala akibat masalah yang sama.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Ilyas Jamil berkata kebocoran itu berpunca daripada aktiviti pertukaran bumbung yang sedang dijalankan sejak April tahun lalu.
“Hujan lebat dan angin kuat memburukkan keadaan, menyebabkan air masuk ke dalam gelanggang. Kami sedang berusaha menutup kebocoran tersebut dan menjangkakan ia dapat diselesaikan dalam masa kurang dari sejam,” katanya dalam sidang media khas, di sini.
Beliau turut memaklumkan PSM telah menghubungi kontraktor untuk melakukan penutupan sementara dengan menggunakan kanvas bagi memastikan perlawanan malam ini dan hari-hari berikutnya tidak terganggu.
Sementara itu, Pengarah Acara (Operasi Pertandingan) Persekutuan Badminton Dunia (BWF), S. Selvaamresh berkata pihaknya sedang menilai situasi sebelum membuat keputusan sama ada beberapa perlawanan akan ditangguhkan.
“Sebarang keputusan mengenai perkara ini akan dimaklumkan selewat-lewatnya pukul 10 malam,” katanya.